APA ITU DAKWAH


Quantum Dakwah dan Tarbiyah

Re-Orientasi  Dakwah dan Tarbiyah

Dakwah berasal dari kata akar da’a yad’u wa da’watan yang terdiri dari tiga huruf dal,’ain dan alif. Apabila ditukar kepada masdar ( kata terbitan) ia berubah menjadi ( da’wah). Ertinya adalah seruan,panggilan, ajakkan dan segala kata yang semakna dengan itu. Di dalam kamus bahasa “ da’wah” ialah panggilan untuk berhimpun,mengajak makan dan minum atau dorongan ke arah mengikuti mana-mana cara,jalan,aliran atau yang seerti dengannya.Di dalam al-Quran dakwah dinisbahkan kepada dakwah ilallah yang bermaksud dakwah yang kita serukan itu mengajak manusia menuju ke arah pengabdian diri kepada allah. Dengan lain kata dakwah itu adalah proses tahawwul wa taghayyur. (Merubah  & menukar )

Sebelum membicarakan persoalan Quantum Dakwah dan Tarbiyah elok kita mencermati dan memahami beberapa perkara berkaitan dakwah agar keaslian dakwah yang kita warisi ini diperkukuhkan, inovasi dan kreativiti dakwah dikembangkan.

Hakikat Pertama : Mafhum Dakwah

Syeikh Dr. Taufik al-Wa’ei mendefinisikan bahawa “dakwah ialah proses menghimpunkan manusia di atas kebaikan dan membimbing mereka mengenali kebenaran dengan melaksanakan manhaj Allah di atas muka bumi secara lisan dan praktikal, menyeru mereka melaksanakan makruf dan mencegah kemungkaran, memandu dan memimpin mereka ke jalan lurus dan bersabar serta berpesan-pesan dengan kesabaran dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah”.

Dalam definisi ini ada beberapa pokok penting yang boleh dibuat rumusan iaitu :

  1. Dakwah adalah proses tajmik, irsyad dan qiyadah. ( kumpul,bimbing dan pimpin ). Bererti dakwah tidak terhenti dengan proses penyampaian tetapi menuntut kepada takween                   ( pembentukan).
  2. Dakwah adalah proses mengeluarkan manusia dari batil menuju kepada al-haq( kebenaran).Dan ini mendefinisikan dakwah adalah proses merubah manusia dari buruk kepada baik kepada lebih baik.
  3. Visi dakwah ialah memastikan pelaksanaan  manhaj allah di muka bumi dan peneguhannya.
  4. Tabiat dakwah memerlukan kesabaran dan sentiasa tawasi bis sabr sebagai indikator kejayaan dakwah. Tanpa sabar tidak mungkin dakwah akan dimenangkan.
  5. Dakwah ialah proses penegakan makruf dan pembasmian mungkar. Ruang kemakrufan dibesarkan dan ruang kemungkaran dihilang.
  6. Dakwah itu melibatkan dua pihak iaitu pelaksana dakwah ( Dai’e) samada secara individu atau jamaah dan sasaran dakwah ( mad’u) yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat mengunakan uslub tertentu bagi mencapai objektif dakwah.

Hakikat Kedua : Dakwah berdiri di atas Fiqh

Dalam melaksanakan proses dakwah kita memerlukan fiqh ( kefahaman). Ini yang kita namakan sebagai fiqh dakwah.Di dalam tajuk fiqh dakwah dari himpunan Risalah al-‘Ain  penulis memberikan dua maksud Fiqh Dakwah iaitu :

  1. Kefahaman yang mendalam terhadap hukum syarak yang bersifat amali yang di ambil dari dalil-dalil tafsili dengan tujuan untuk menarik manusia beriman kepada allah, apa yang dibawa oleh para rasul, membenar dan mentaati segala perintahnya.
  2. Kajian kaedah dan asas ilmu untuk melaksanakan apa yang diperintahkan allah.

Dari mafhum ini, fiqh dakwah ialah kajian berkaitan kewajipan dakwah,amal jamaie, ciri-ciri jamaah islam,asas-asas Islam, hudnah,harb,tahaluf, piagam amal jamaie,sejarah harakah, pendirian dan ijtihad dalam isu-isu siasi dan sosial, polisi-polisi gerakan islam, manhaj, landasan, tujuan, kandungan, sasaran, strategi, metod, intipati dan segala sesuatu yang secara mutlak termasuk di dalam istilah manhaj dakwah.Termasuk juga dalam kerangka fiqh dakwah ialah menguasai pengurusan dakwah dan siasah dakwah.Muhammad Ahmad Ar-Rasyid di dalam al kitab Maasar membahagikan siasah dakwah kepada tiga iaitu siasah Kharijiah,siasah dakhiliyyah dan siasah tarbawiyah.

Fiqh Dakwah merupakan salah satu cabang ilmu yang diakui muktabar kerana tanpanya operasi dakwah tidak dapat dijayakan dengan cemerlang,kurang interaktif dan ramai manusia lari dari seruan dakwah.Kepentingan menguasai fiqh dakwah adalah sama penting kita menguasai fiqh al-ahkam.

Syeikh Jum’ah Amin telah menulis buku Fiqh Dakwah yang boleh kita jadikan rujukan dalam memahami perkara berkaitan dakwah. Begitu juga tulisan Dr. Abdul Karim Zaidan ( Usul Dakwah), buku- buku Fathy Yakan, Maududi (Tazkiratud-duat),Mustafa Mahsyur , silsilah Ihya Fiqh Dakwah ( Muhammad Ahmad Ar-Rasyid), tulisan Yusuf al-Qardawiy ( as-sohwah islamiah),silsilah Mamaratul Haq, Rasail al-‘Ain, Fi Dzilal,Majmuah Rasail, Hudhaibi ( duat la qudat),Syeikh Jasim Muhalhil ( lil du’at faqat / addakwah islamiah),El- Bahi El-Khauli (Tazkirat Duat ), Muhammad Abu Faris dan lain-lain lagi.

Menguasai fiqh dakwah bermaksud kita perlu juga menguasai fiqh syarak dan memantapkannya dengan menguasai fiqh sunan, fiqh maqasid, fiqh muwazanat, fiqh awlawiyat,fiqh ikhtilaf,fiqh waqi’. Ustaz Anis Matta menyatakan fiqh dakwah adalah metodologi untuk mempertemukan kebenaran dengan ketepatan.

Fiqh dakwah berdiri di atas ilmu syarak, landasan-landasan usul fiqh dan kaedah-kaedah fiqhiyah untuk memastikan tujuan syarak dilaksanakan dengan  mengambil kira dharuriyat, hajiyat dan tahsinat.Perlu ada daurah-daurah pemantapan ulum syariyah kepada para kader dakwah kerana manhaj dakwah kita adalah manhaj salafussolih, manhaj arrasul dan bersifat rabbani.

Hakikat Ketiga : Visi dan Misi Dakwah

Visi dakwah kita ialah memastikan terlaksananya ubidiyah lillah iaitu manhaj allah ditegakkan dimuka bumi ini. Dalam konteks ini, dakwah kita adalah proses membina peradaban, projek ketamadunan (rujuk buku tulisan Dr Abd. Hamid al-Ghazali Haula Asasiyat Masruk Islami li Nahdatil al-Ummah).

Imam Al-Bana menggariskan agenda grand design dakwah kita di dalam risalah Ta’lim iaitu :

  1. Islahul nafs. ( membaiki diri )
  2. Takween Bait Muslim (membentuk keluarga Islam )
  3. Irsyadul Mujtamak. ( memimpin masyarakat )
  4. Tahrirul watan ( membebaskan negara )
  5. Islahul hukumah ( reformasi kerajaan )
  6. I’adah Al-kiyan ad-dauli ( mengembalikan eksistensi negara)
  7. Ustaziyatul alam ( mahaguru dunia )

Maka  dalam memastikan grand design dakwah kita berjaya, kita mesti melaksanakan grand strategy dakwah secara gerakan cultural dan structural. Miswan Thahadi menyatakan  gerakan cultural ialah penglibatan para da’ie ke pelbagai lapisan masyarakat dalam mentransformasi diri menuju suasana sosio-budaya yang islami. Ini bermakna para daie bergerak bersama masyarakat untuk terlibat membangun pelbagai aspek kehidupan:ekonomi,budaya,social,pendidikan dan sebagainya.Ini berlaku secara bottom-up.

Manakala strategi structural pula ialah  penyebaran para kader-kader dakwah ke dalam lembaga-lembaga legislative,eksekutif ,penggubalan polisi  dalam kerangka melayani,membangun dan memimpin umat melalui mekanisme konstitusional.Tujuannya ialah membangunkan system,membuat polisi-polisi dalam rangka taghyir ummah. Ini berlaku secara up-down. Kedua-dua strategi ini perlu mengepak kuat,saling berkomunikasi bagi mancapai visi  dan misi dakwah. Untuk memobalisasikan perkara ini , ia mesti dipelopori dan dipimpin oleh  gerakan Islam.

Pengalaman Ikhwan dalam melaksanakan strategi ini boleh dijadikan landasan kajian dalam tajuk irsyad mujtamak. Pengalaman muassis awal Syeikh Hasan al-Bana dalam membina binaan dakwah di Mesir sehingga dilanjut oleh para pimpinannya selepasnya sehingga IM menjadi satu arus kuat di dunia. Termasuk juga pengalaman penyertaan IM Jordan di dalam kerajaan, pengalaman tajammuk Islah di Yaman, begitu juga pengalaman terkini Hamas di Palestin sebagai satu kerajaan berdepan dengan Zionis Israel.

Hakikat Keempat : Tonggak-tonggak dakwah

Dakwah yang ingin kita bawa sepertimana yang ditegaskan oleh Imam Hasan al-Bana ialah menyeru kepada jalan allah, kepada  Islam yang tulen (islamiah somimah). Dalam risalah dakwatuna, al-Bana menyatakan bahawa dakwah kita ialah islamiah bi kulli maaaniha – Islam dengan sepenuh pengertiannya.Begitu juga katanya di dalam risalah Muktamar ke- 5 : “fikratul ikhwan muslimin tadhummu kulla maani islahiyyah” (fikrah ikhwan merangkumi seluruh maksud pengislahan).Dakwah kita ialah dakwah kepada islam yang syumul . ( rujuk rukun al-Fahm dalam usul 1- risalah Taalim ).

Dalam mengemudi dakwah, kita perlu memahami tonggak-tonggak dakwah atau pilat-pilar dakwah. Hasan al-Bana menyatakan bahawa “ sesungguhnya,kewajipan kita,di mana di tangan kita terdapat cahaya lentera dan ubat- adalah bangkit untuk membaiki dan mengajak orang lain menuju pembaikan. Jika berhasil, itulah keberhasilan yang sebenar-benarnya. Namun jika tidak, sesungguhnya kita sudah menyampaikan risalah dan melaksanakan amanah…cukuplah wujud mereka yang mahu memikul risalah dan melaksanakan tugas dakwah sebagai tonggak-tonggak keberhasilan. Dengan tonggak-tongak itu mereka yakin, mereka ikhlas dan dijalannya mereka jihad..”

Pilar-pilar dakwah (arkanud dakwah) ini dinyatakan dalam tiga kunci :

  1. Ilmu
  2. Tarbiyah
  3. Jihad

Ilmu : ilmu bagi seorang dai’e meliputi ilmu tentang maddatud dakwah ( tajuk & intipati dakwah), ilmu tentang manhaj dakwah dan ilmu tentang tabiatuddakwah.

Tarbiyah pula ialah wasilah menyiapkan para kader,aktivis,daie yang akan menjadi tulang belakang dakwah.Tarbiyah ialah proses merubah kognitif kepada aplikatif ( membentuk perilaku islami ). Tarbiyah ialah proses mengembangkan aspek kebaikan dan membuang aspek jahiliyah di dalam individu. Tarbiyah juga bermaksud pemeliharaan, penambahbaikan, pertumbuhan kebaikan, menjaga fitrah, mengembang bakat dan potensi, mengarah potensi ke arah kebaikan dan kesempurnaan dan secara bertahap. Tarbiyah adalah menyamai satu kepayahan dan kesulitan. Tarbiyah itu sifatnya integrasi dan komprehensif. Tarbiyah dalam kefahaman kita melahirkan rijal yang memiliki muwasofat 10, melaksanakan wajibat arkanul baiah dan mengimplimentasikan maani 10 rukun dalam kehidupan sehingga layak menjadi rijal dakwah

Rijal dalam pemahaman kita : “ inna zhuhurad din bi dhuhuri ummatihi, wa inna zhuhurar ummah bizhuhuri rijaliha, wa inna zhuhurar rijaliha bi zhuri aqidatihim wa fikratihim wa khuluqihim” . (sesungguhnya kebangkitan Deen itu dengan kebangkitan umatnya, kebangkitan umat pula dengan kelahiran rijalnya, dan sesungguhnya kebangkitan rijal-rijalnya dengan kebangkitan (baik) aqidah,fikrah dan akhlaknya ).

Sesungguhnya tarbiyah bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya tidak akan pernah jadi baik tanpa tarbiyah.

Jihad adalah bagian yang tidak boleh dipisahkan dengan dakwah dan tarbiyah. Hanya dengan jihad yang sebenarnya semua proses transformasi dan perubahan berjalan baik dan akan tercapai sasaran-sasaran dakwah. Al-Bana menyatakan “ tiada dakwah tanpa jihad dan tidak ada jihad tanpa pengorbanan”. Jihad ialah pencurahan seluruh tenaga dan upaya,seluruh potensi, seluruh jiwa dan raga untuk menegakkan kalimah allah di muka bumi. Jihad ini disantuni Nabi S.A.W di dalam sabdanya dengan maksud : “ barangsiapa yang mati, sedangkan dia tidak berjihad, atau tidak ada niat berjihad, maka dia mati dalam kemunafikan”. Dalam hadis lain ia mati sebagai mati jahiliyah.

Perkataan”yaqhzu” tidak terhad kepada perang fizik tetapi juga dalam konteks komtemporari telah meluas seperti perang media, perang siber, budaya, ekonomi dan sebagainya.

Jihad itulah menjadi slogan dakwah kita “ al-jihad sabiluna”. Jihad dalam mafhum yang luas meliputi jihad qital, jihad ta’limi, jihad ilmu, jihad siasi.Tanpa jihad maka hanya omong kosong dan mimpi di siang hari.Hanya sang daie mujahid mampu menjayakan agenda dakwah.Daie Mujahid membawa ruh jihad di mana-mana ia berada, di mimbar-mimbar masjid, mimbar – mimbar parlimen, di desa dan bandar , di ceruk rantau gunung ganang, di lembaga dan jabatan sehingga tumbuh pohon-pohon dan dahan-dahan dakwah. (boleh rujuk risalah Jihad al-Bana, syarah rukun Jihad / Zaadul Maad Ibnul Qayyim-bab Jihad / al- Jihad fil Islam – Muhammad Naim Yaasin atau Dr. Abdullah Qadiri al-Ahdal).

Hakikat Kelima : Dhawabit dan Qawaid Dakwah ( Prinsip & Kaedah )

Dakwah kita adalah dakwah yang bersumberkan al-Quran dan Hadis. Sudah tentu dakwah kita berdiri di atas satu prinsip yang jelas, rabbani dan tulen.Oleh itu, dakwah kita mesti terikat dengan prinsip syarak   ( dhawabit syarie ) – lihat buku dakwah islamiah faridhah syariyyah – Dr. Sodiq Amin).

Dalam berdakwah juga memerlukan kaedah sebagai mana kaedah-kaedah dalam usul fiqh atau Qawaid Fiqhiyyah.Ulama-ulama silam seperti As-Suyuti ( Al-Asybah wan Nadhoir ), al-Qarafi ( al-Furuq ) Majalah al-ahkam al-‘adliyyah  adalah buku-buku yang membicarakan perkara berkaitan Qawaid Fiqhiyyah. Tradisi ini dilanjut dan dikembangkan oleh ulama semasa seperti Dr. Fathi Duraini di dalam bukunya Manahij Usuliyyin ( Usul Fiqh ), Syeikh Mustafa Zarqa ,Ali Nadawi, Dr. Muhamad al-Burno  ( al-Qawaid al-Fiqhiyyah) dan lain-lain lagi. Dalam kontek dakwah, Dr, Jum’ah Amin, Dr. Hammam Saeed telah menulis buku berkaitan kaedah-kaedah  dalam fiqh dakwah.

Antara 10 kaedah fiqh dakwah Syeikh Juma’ah Amin ialah :

Kaedah 1 ; Al-qudwah qabla dakwah ( menjadi qudwah sebelum berdakwah )

Kaedah 2 : Ar-Ta’lif qabla ta’rif ( menjinak dan mengikat hati sebelum memperkenalkan )

Kaedah 3 : At-ta’rif qabla taklif (memperkenalkan sebelum member tugas )

Kaedah 4 : At-tadarruj fi taklif ( bertahap dalam memberikan tugasan )

Kaedah 5 : At-taisir la ta’sir ( memudah bukan memayah)

Kaedah 6 : Al-Usul qabla furu’ ( memulakan yang pokok sebelum cabang )

Kaedah 7 : At-targhib qabla tarhib ( member harapan bukan ancaman)

Kaedah 8 : At-tafhim la al-talqin ( memberi kefahaman bukan menyampaikan semata-mata)

Kaedah 9 : at-tarbiyah la at-ta’riyah ( pendidikan bukan menelanjangi keburukan)

Kaedah 10 : Tilmizu imam la tilmiz kitab ( murid kepada guru bukan murid kepada buku)

Manakala Dr. Hammam Abd. Rahim Saeed di dalam bukunya ( Qawaid Dakwah ilallah ) pula menulis dengan pendekatan motivasi dan memberikan dorongan semangat agar para da’ie sentiasa optimistik dalam memberikan  al’atho ad-da’wi ( sumbangan dakwah ).Kaedah-kaedah ini digali dari asas-asas syarak dan seerah nabawiyah, kisah para sahabat dan salafussolih. Ia  memberikan ledakan baru dalam memperkayakan fiqh dakwah. Antara kaedah-kaedah yang dinyatakan di dalam bukunya :

Kaedah 1 : Dakwah di jalan allah adalah jalan keselamatan di dunia dan akhirat

Kaedah 2 : Semoga dengan usaha kamu seseorang memperolehi hidayah lebih baik dari unta merah

Kaedah 3 : Pahala diperolehi semata-mata dengan berdakwah dan tidak dikira  dengan penerimaan manusia

Kaedah 4: Daie hendaklah menjadi   sebagai mubaligh ( penyampai dakwah) dan berusaha mencapai

al-balagh. ( kepetahan & kefasihan dalam berdakwah )

Kaedah 5 : Da’ie memberikan segala usaha dakwah demi menuntut ganjaran rabbani

Kaedah 6 : Dai’e adalah cermin bagi dakwah  dan modelnya.

Kaedah 7 : Berbicaralah dengan manusia menurut kadar pemikiran mereka

Kaedah 8 : Ujian adalah sunnatullah

Kaedah 9 : Lapangan dakwah adalah luas , hendaklah dai’e memilih yang sesuai untuk dakwahnya

Kaedah 10 : Masa adalah unsur penting  dan kejayaan dakwah

Kaedah 11 : Dakwah adalah seni dan kepemimpinan, perancangan dan pemantauan.

Kaedah 12 : Dakwah merupakan satu tasawwur besar Jihad dari segi matlamat dan kesan

Kaedah 13: Dakwah adalah perniagaan  mulia ,tidak boleh dijual dengan habuan dunia, habuan dunia merosakkan maruah sang Dai’e .

Kaedah 14 : Mengenalai mad’u faktor utama mempengaruhinya

Kaedah 15 : Komtemporari, memahami kondisi umum adalah sebab-sebab kejayaan dakwah.

Kaedah 16 : Perpecahan, fitnah, uzlah dan jamaah..halangan di jalan dakwah

Kaedah 17 : Kefahaman yang betul adalah jalan amal yang betul

Kaedah 18 : Kefahaman yang memandu dan kefahaman yang wajib

Kaedah 19 : Menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkuran merupakan kefardhuan umat

Kaedah 20 : Menyalahi maksud dan tujuan al-Quran lebih bahaya dari meninggal dan mengabaikan  al-Quran

Kaedah 21 : Amal umum adalah asas amal khusus sebagai penarik dokongan dakwah.

Kaedah-kaedah adalah sebahagian dari maksud Quantum dakwah dan Tarbiyah. Kaedah-kaedah ini akan memberikan energi baru dalam mengaplikasikan dakwah.Ia pasti menjadikan dakwah asyik, mengghairahkan dan menarik minat mad’u serta membentuk wilayah pengaruh (region of influence).Saya akan membicarakan pada sesi seterusya.

Mari kita renungi ungkapan Imam Hasan al- Bana :

Hazihi dakwah la yasluh laha illa man ahaathoha min kulli jawanibiha..”

Dakwah ini tidak akan sesuai dan serasi kecuali dengan orang yang memahami dan menguasai dakwah dari segala aspeknya.Mana mungkin orang yang tidak memiliki apa-apa mampu memberi dan menyumbang pada orang lain bak kata pepatah “ Faqidus syai la ‘yukti” ( orang yang tiada apa-apa,tidak akan memberi..)

Wahai kader dan aktivis dakwah ISMA..jangan jemu berdakwah..jangan mudah pasrah dan lelah…kalian obor harapan ummah…

About these ads

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 121 pengikut lainnya.

%d blogger menyukai ini: